Friday, 25 May 2012

Bahasa Malaysia

~ Aktiviti Mendaki Gunung Yongmasan dan Gunung Achasan

Pemandangan daripada Gunung Achasan
~ Gambar oleh Kevin Park
Setelah menulis kebanyakan entri dalam blog saya di dalam Bahasa Inggeris, saya merasakan adalah baik sekiranya saya menulis pada kali ini di dalam bahasa ibunda saya yakni Bahasa Malaysia.

Sebagai pelajar yang mempunyai minat yang mendalam di dalam bahasa tidak kira bahasa apa, saya masih mengganggap bahasa yang banyak dipertuturkan di Malaysia patut dipanggil Bahasa Malaysia. Iaitu seperti juga  jiran kita Indonesia yang memanggil bahasa ibunda mereka sebagai Bahasa Indonesia.

Meskipun arwah ibu saya seorang guru Bahasa Inggeris, dari umur saya di dalam dukungannya sehinggalah mula bersekolah saya tetap bertutur di dalam Bahasa Malaysia. Hanya pada tahun 1985, saya dipaksa bertutur di dalam Bahasa Inggeris semasa saya mula bersekolah di Ben Day School, Leavenworth, Kansas, Amerika Syarikat.

Sekolah Ben Day
Banyak pengalaman pahit dan manis saya bersekolah di sini bersama-sama dengan pelajar-pelajar tempatan  Amerika, dan mujur guru kelas Puan Vakas faham masalah saya kerana saya seorang pelajar yang pendiam dan terus ditempatkan di sebelah meja guru kelas seolah-olah saya pelajar kesayangan beliau. Saya masih ingat bahawa saya faham apa yang diperkatakan di dalam kelas namun saya tidak boleh mengekspresikan diri saya dengan baik. 

Pada minggu pertama, rakan sekelas saya seperti Michelle, Stacy, Danial, Alan dan ramai lagi telah di tanya oleh Puan Vakas burung apa yang boleh tahan sejuk tetapi tidak boleh terbang. (bukan dwi-maksud). Semua memberikan jawapan mereka dan semuanya salah. Apabila lebih kurang lima minit persoalan itu tidak dijawab, Puan Vakas dengan nada yang lembut bertanya, "Why not we ask Afdal if he knows the answer?". Saya pun tanpa teragak-agak menjawab, "Penguin."

Rakan sekelas saya gelak ketawa kerana menyangka jawapan itu salah, namun dengan muka yang berkeyakinan, Puan Vakas juga telah tertawa dan mengucapkan "You are right, Afdal!". Sejak dari itu keyakinan saya bertambah dan mula mempunyai ramai kawan dengan rakan sekelas saya di gred dua, Sekolah Ben Day.

~~~ 

Baiklah, mari saya mulakan pengalaman saya mendaki gunung di sekitar Seoul buat kali kedua sepanjang saya berada di Korea Selatan. Kelab Hiking, Sekolah KDI telah merancang pendakian ini semenjak cuti semester musim bunga yang lalu. Di bawah kepimpinan Encik Sanaullah Mangi daripada Pakistan kami telah membuat persiapan fizikal dan mental untuk mendaki gunung Yongmasan dan Achasan. Menurut pembantu kelab, Encik Kevin Park, pendakian ini adalah lebih mudah berbanding pendakian semasa bulan Mac 2012 yang lalu. Namun keistimewaan pada kali ini adalah pendakian pada waktu malam.

Perjalanan dimulakan pada 4.00 petang di lobi sekolah bersama-sama 10 orang ahli kelab dan diteruskan ke stesen Hoegi lebih kurang 15 minit perjalanan. Dari stesen Hoegi dan transit ke stesen Sangbong serta terus ke stesen Yongmasan. Oleh kerana hari yang didaki adalah petang hari Ahad  dan kebanyakan pendaki tegar akan mendaki pada hari Sabtu malam atau Ahad pagi. Semasa kami tiba di stesen Yongmasan, kebanyakan daripada mereka telah turun dari pendakian dengan muka yang letih tetapi jelas terpancar kepuasan mereka kerana berjaya melaksanakan aktiviti mendaki pada hari itu. Saya masih kagum dengan minat orang-orang Korea di dalam aktiviti sebegini.

Ahli Kelab Hiking Sekolah KDI, Korea yang terdiri daripada pelbagai warganegara
~ Gambar oleh Presiden Kelab Sana Mangi

Mendaki di Gunung Yongmasan bersama Hanka dari Republik Czech dan Augy dari Mongolia
Selangkah demi selangkah

Pendakian ke Gunung Yongmasan mengambil masa dalam satu jam setengah dan rehat selama 30 minit di atas puncak gunung. Setelah hampir dua bulan tidak mendaki dan ditambah pula cuti seminggu, pendakian ke atas gunung agak mencabar juga namun dengan rentak perjalanan dan pernafasan (semput) saya dapat mendaki di atas gunung tersebut dengan lancar.

Malaysia Boleh!
Oleh kerana saya baru kembali daripada Yeosu, lima jam perjalanan dari Seoul saya masih berpeluang menunaikan solat jamak qasar dan peluang ini digunakan sebaiknya. Selepas matahari terbenam, dan sinaran lampu daripada bandaraya Seoul melimpah dan memenuhi segenap ruang angkasa bandaraya itu, dan meskipun pendakian adalah di dalam kegelapan malam, penglihatan kami semua tidak terlalu terjejas. Namun begitu, presiden kelab telah pun memberi pesanan agar kami semua berjalan dengan menggunakan lampu suluh. 

Kaki Gunung Achasan
~ Gambar oleh Vesna Sumic
Turun dari Gunung Yongmasan dan mendaki Gunung Achasan tidaklah begitu sukar di dalam gelap namun kerana tidak ramai pendaki pada malam tersebut, agak sunyi juga sepanjang pendakian kami. Saya teringat di dalam sanubari saya, sekiranya ini di Sabah atau hutan di semenanjung begitu banyak pantang larang dan tatasusila yang perlu dijaga. Saya ingat insiden di Kiansom, Inanam dan Papar, Sabah semasa latihan ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan, banyak insiden ganjil berlaku dan masih menjadi misteri sehingga ke hari ini. 

Saya juga masih ingat lawak jenaka adik saya yang pernah menetap di Canberra, Australia. Beliau berkata "Kalau kat luar negeri, kita tak takut kalau ada terjumpa atau terdengar hantu mat salleh, mungkin kerana bagi kita hantu tu dah level bawah berbanding kalau hantu di negara kita, hantu tempat kita mesti takut dia lain macam." ~ Asyura "Acua" Md. Hashim. Ini daripada adik saya yang pernah menetap di rumah yang ada "The Others".... heheheeeeee....

"The Others" - kan betul, hantu mat salleh pun cun macam Nicole Kidman
Saya juga berpendapat sebegitu, namun percaya kerana adat dan budaya kita yang terlalu menakut-nakutkan kanak-kanak sehingga terlupa ianya boleh menjejaskan pemikiran kreativiti mereka dan juga sifat ingin tahu mereka. Mujurlah juga wayang terbitan KRU Productions berani menampilkan sedikit kelainan berkenaan makhluk halus ini melalui filem "MAGIKA".

Magika - eksplorasi dunia bunian dalam bentuk muzikal

Dari Yongmasan ke Achasan, dengan keadaan yang sunyi sepi, saya tidak mengambil mudah dan mula membaca ayat dan surah pelindung agar perjalanan ini tamat dengan baik. Mungkin kerana pengalaman saya dan cerita ayah saya sebagai seorang anggota tentera memberikan saya latihan untuk terus bersemangat kental.

Di Achasan, saya dapat melihat pemandangan yang begitu cantik dari puncak gunung.


Pemandangan dari Gunung Achasan
~ Gambar oleh Vesna Sumic

Setelah pendakian selama hampir 5 jam, tibalah kami di akhir pendakian Gunung Achasan. Pengalaman pada kali ini amatlah memberi kepuasan kepada saya setelah hampir lima bulan berada di Korea Selatan.

Saya ada membaca satu artikel di The New York Times bertarikh 20 Mei 2012 bertajuk "The Anti-MBA". Bukanlah saya bermaksud untuk menidakkan program MBA kerana pada pendapat saya, apa jenis ilmu sama ada formal atau tidak formal adalah sama penting.

Di dalam artikel tersebut menyebut:

"Of all the management courses in all the world, there are probably a few others that tell students they will need hiking boots and waterproof jackets."

"However, it is hard to think of anywhere outside of the International Masters Program in Practical Management that begins by telling the students that most graduate business degrees “are destructive” or that the case-study method, the hallowed approach adopted by Harvard and many of the world’s other leading business schools, is actually “demeaning.”"


http://www.nytimes.com/2012/05/21/world/europe/21iht-educlede21.html
Artikel itu menyentuh bahawa kebanyakan kursus-kursus perniagaan, sama ada di Harvard dan universiti terkemuka lain adalah bersifat 'merendahkan martabat' intelektualisme seseorang.

Manakala artikel itu juga menyebut Henry Mintzberg seorang profesor pengajian pengurusan di Universiti  McGill, Montreal yang mengkritik bahawa sekolah perniagaan MBA adalah 'ancaman kepada masyarakat.'

"The rise of the business-school-trained M.B.A., he says, is “a menace to society.”

Sebagai seorang penjawat awam dan kini seorang pelajar pasca-siswazah, saya berpendapat adalah penting bahawa ilmu boleh dan wajar diperolehi di mana-mana. Tidak kira di bilik kuliah, di lobi sekolah mahupun di stesen bas di hadapan sekolah. Pada pendapat saya, suatu hari nanti dan tidak mustahil sekarang, dunia akademik adalah melampaui pointer CGPA seseorang mahupun senarai dekan yang dimiliki olehnya. (Mestilah orang yang berusaha sedaya upayanya untuk mendapat CGPA yang tinggi mungkin menyangkal hujah ini).

Siapa yang masih boleh ingat pelajar cemerlang SPM pada tahun 1995 ataupun pemenang anugerah Naib Canselor dan di mana beliau sekarang? Mungkin ada yang berjaya dari segi ilmiahnya dan keterampilannya namun sekiranya pelajar cemerlang tersebut berjaya memberikan pulangan kepada masyarakat tanpa memikirkan dirinya sahaja, saya merasakan pelajar tersebut bukan sahaja pelajar cemerlang namun beliau adalah juga insan yang cemerlang. (Terasa seperti Dato' Fadzilah Kamsah).

Oleh yang demikian, pengalaman saya bukan sahaja dengan mendaki gunung tetapi peluang menuntut ilmu di negara Korea adalah suatu yang amat meningkatkan nilai tambah dan pengetahuan serta pengalaman, dan seharusnya saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberi saya peluang ini dan juga kepada KDI School dan POSCO Asia Fellowship yang menaja pengajian saya. 

Demikianlah percubaan saya mengarang di dalam Bahasa Malaysia. 

Terima kasih kerana sudi membacanya.

Kelab Hiking KDI School 2012 setelah mendaki dua gunung di tenggara Bandaraya Seoul


No comments:

Post a Comment